Saturday, 20 July 2013

✽ Perempuan Al-Quran ✽

:: Wahai Perempuan, Akrablah dengan Al-Quran ::

Kitab suci al-Quran terbukti sebagai sebuah mukjizat yang tidak pernah lekang oleh waktu. Selama 14 abad lebih kewujudan al-Quran, tiada satu pun huruf di dalamnya berubah. Beribu Muslimin telah menghafal dan memelihara bacaan al-Quran di dalam hati mereka. Al-Quran juga mempunyai fakta-fakta ilmiah yang sangat menakjubkan, dan  kebenarannya akan terbukti di hari kemudian. Allah SWT telah berjanji untuk melindungi dan menjaga kesucian al-Quran melalui firmanNya; 

"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." [QS.Al-Hijr :9]

Ayat-ayat al-Quran ditulis dalam bahasa yang sangat indah dan puitis. Malah lebih dari itu, salah satu bukti keajaiban al-Quran adalah bagaimana kitab yang mulia itu mampu mengubah seseorang yang membacanya, memahami dan mengimplementasikannya dalam kehidupan seharian. Seseorang yang suka membaca dan memahami serta mempelajari tafsir al-Quran biasanya bersama-sama dengannya perubahan yang baik dalam gaya hidupnya, ibadah, hubungannya dengan orang lain dan juga perubahan dalamannya. 

Al-Quran sangat memberikan pengaruh yang besar kepada kaum muslimat. Perkara yang paling utama adalah untuk menguatkan keimanan seseorang keatas keesaan Allah SWT sehingga mereka terhindar dari penyakit hati dan perbuatan syirik, sesuai seperti yang disebut dalam firmanNya; 

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun." 
[QS. An-Nisaa' :36]

Seorang perempuan yang sering membaca al-Quran tidak mudah silau dengan gemerlapnya dunia. Sudah menjadi kecenderungan kaum wanita menyukai harta benda, perhiasan bagus, kasut dan pakaian indah dan barang-barang mewah lainnya dan kadang kala sangat dibimbangi dengan penampilan fizikalnya, sehingga boleh menghabiskan waktu berjam-jam untuk mencantikkan diri. Jika tidak berwaspada, hal-hal seumpama itu akan membuatkan seseorang itu tergelincir menjadi pecinta dunia dan tidak menempatkan cintanya hanya pada Allah SWT sebagai cintanya yang paling utama. Semuanya itu tidak akan terjadi jika seseorang muslimat itu mempunyai pengetahuan agama seperti ajaran-ajaran yang terdapat di dalam Al-Quran. 

Al-Quran juga membuat seorang muslimat untuk selalu menjaga kebersihan dan kesucian dirinya, yang akan berhadapan dengan kehidupan keluarga dan rumahnya. Sehinggakan seseorang muslimat yang selalu membaca Al-Quran akan menghindarkan diri mereka dari kehidupan yang bebas tanpa batasan, menghindari dari segala kemewahan dunia, menghindari gaya hidup boros dan sangat peduli untuk menjaga kebersihan dirinya dan orang-orang disekelilingnya seperti firman Allah SWT dalam Surat Al-Bqarah ayat 222; 

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." 

Pengetahuan berkenaan isi al-Quran juga mampu menjaga seorang muslimat dari kebiasaan memanfaatkan waktunya dengan melakukan hal-hal yang tidak bermanfaat, seperti berjalan-jalan ke shoping mall hanya untuk melihat barang, membeli barang-barang yang sebenarnya tidak diperlukan, menonton drama dan gosip-gosip di televisyen, berbual berjam-jam di telefon, dan lain-lain perbuatan yang tak berguna. 

Seorang muslimah yang suka membaca Al-Quran sangat faham bahawa waktu itu sangat berharga dan harus diisi dengan aktiviti yang bermanfaat, seperti menghadiri pengajian, menuntut ilmu atau membaca buku-buku yang berilmu. Pada akhirnya, Al-Quran akan menyelamatkan muslimah dari berbagai penyakit sosial. 

Muslimah yang memiliki pengetahuan tentang Al-Quran akan menyampaikan ilmub pengetahuannya itu kepada orang lain, iaitu kepada keluarga dan masyarakat melalui interaksinya dalam pelbagai kegiatan sosial. Para muslimah itu menjadi pelopor terbentuknya sebuah keluarga yang kuat identiti Islamnya, yang pada akhirnya akan mempengaruhi pada pembentukan masyarakat yang islami. 

Apabila seseorang muslimah itu mempelajari Al-Quran, ia makin sadar bagaimana harus menjalani kehidupan sebagai seorang muslimah. Ia sadar untuk menutup auratnya dan memilih busana yang dikenakannya dan bagaimanan ia harus menghias diri dan ia tahu bagaimana berbicara dengan muslimin yang bukan muhrimnya dalam pergaulan seharian.

"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya." (QS. Al-Ahzab:33) 

Pemahaman yang diperolehi menelusuri ayat-ayat al-Quran mampu membuatkan seseorang muslimah semakin meningkat ketaqwaannya kepada Allah SWT. Ketaqwaan inilah yang mendasari hubungan antara sesama insane dimana ia akan menjadi lebih sabar, bertoleransi, memahami kekurangan orang lain dan bersikap lebih baik jika dibandingkan dengan mereka yang tidak memahami isi kandungan Al-Quran. Seorang muslimah yang mempelajari Al-Quran juga tahu bagaimana ia harus menghormati orang-orang tua, suami bahkan anak-anak mereka nanti sesuai dengan tuntunan Allah SWT. 

Lebih jauh lagi, Al-Quran mampu memberikan kedamaian di hati bagi mereka yang membacanya mahupun yang mempelajarinya. Allah SWT berfirman; 

"Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Rabbmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surat Yunus:57) 

Berkat Al-Quran yang terbesar yang diberikan pada para muslimah adalah hati yang dipenuhi dengan rasa cinta pada Allah SWT. Hati yang penuh cinta pada Allah semata-mata bebas dari rasa kebencian, dendam, iri hati dan tidak mengenal erti putus asa dan selalu berharap akan rahmat Allah SWT diwaktu susah mahupun senang. 


Jika Al-Quran sudah memberikan banyak kebaikan yang begitu besar pada kehidupan kaum muslimah, sudahkah kita membaca dan menghayati isi kandungan Al-Quran?

 --------------------------------------------------------------------------------------

Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran serta beramal dengannya seperti UTRUJAH(limau); Rasanya sedap dan baunya harum..
Perumpamaan orang mukmin yang beramal Al-Qurqn tetapi membacanya seperti TAMAR; Rasanya enak tetapi tiada bau..
Perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran seperti RAYHANAH (selasih); Baunya harum tetapi rasa pahit..
Perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti HANZALAH (buah berduri); Rasanya pahit serta tidak berbau..

(Al-Hadith)

Sunday, 7 July 2013

✽ Paksi Hati ✽

Fahim berteleku di sejadah. Matanya merenung jauh ke mimbar masjid.. Berfikir.. Merenung kembali hatinya yang terasa parah kerana dunia. Dia memandang kepada Ahnaf yang baru bangun dari solat sunat selepas Isyak. Ahnaf yang merangkap teman sebiliknya selama dua semester mereka belajar di universiti ini dilihat melangkah ke arahnya.

Seorang sahabat yang mulia adalah yang membawa sahabatnya ke jalan Tuhan. Subhanallah, Fahim bersyukur dianugerahkan peluang mengenali Izat, hanya dengan melihat ke wajah Ahnaf sudah mampu membuat dia rasa sejuk hati.


Bagai mana agaknya pula apabila orang pandang muka dia ya?

Ahnaf menghulurkan tangan bersalaman lantas disambut Fahim. Ahnaf tersenyum, dia seakan dapat merasa gejolak hati sahabatnya ini. Resah dan gelisah terpancar dari sinar matanya yang redup. Ahnaf menepuk perlahan bahu Fahim.

Fahim tidak mengangkat muka, tidak berani menentang pandangan sahabat yang sangat disegani itu. Pada diri Ahnaf, dia nampak acuan al-Quran yang dipegang, dia terbayang sunnah Rasulullah S.A.W yang dijadikan amalan oleh Ahnaf.

"Im, okay ke tak?" Ahnaf mula bersuara.

Dia tahu, Fahim ini jenis yang kalau diasak baru hendak buka cerita, jika tidak tidak payah mengharap.

Fahim tersenyum tawar.

"Kenapa kau tanya macam tu? Aku tak nampak okay ke?" Fahim tahu, Ahnaf seorang yang mudah membaca hati orang lain. Tidak perlu detail, dia dah summarize siap-siap dalam otak apa saja yang terjadi.

Ahnaf tergelak kecil. "Dah macam berjalan atas angin, kadang termenung, kadang nampak macam nak menangis. Kalau tu kau kata masuk dalam kategori okay, betul la tu kau okay."

Fahim tidak beriak apa-apa. Lama dia diam, Ahnaf pula memberi ruang.

"Hati aku sakit, ِAhnaf."

"Dunia?" Ahnaf melihat Fahim mengangguk perlahan. Dilihat mata Fahim mula berkaca.

Digosok perlahan belakang sahabatnya ini.

"Kalau pada sudut student macam kita ni, yang boleh jadi masalah cuma pasal kewangan, study, family, kawan dan kaum muslimat. Kalau aku tak silap, berdasarkan penelitian terhadap faktor di atas, aku teka yang buat hati kau sakit ni, hal yang menjadi fitnah terbesar bagi muslimin?"

Fahim tersenyum, sudah aku katakan. Bionic betul si Ahnaf ni, boleh tembus otak dan hati orang.

Ahnaf kalau dalam cakapnya, mesti tersusun dan teratur. Siap mimik muka yang menandakan dia berfikir bersungguh-sungguh tentang perkara itu. Ahnaf... Ahnaf...

"Im, sebab tu Rasulullah S.A.W kata, fitnah terbesar bagi kaum kita adalah muslimat. Oleh kerana kita dah tau, kita kena siap untuk hadapi fitnah tu, Im. Jangan bagi kita tersungkur dalam fitnah yang kita dah tahu bahayanya." Ahnaf menepuk bahu Fahim.

Fahim semakin tenang mendengar Ahnaf mengalun ayat 14 Surah ali-'Imran berserta maksudnya:

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik."

"Hati kau sakit, mengikut perkiraan aku yang masih kurang ilmunya ini, sebab kau rasa perasaan yang wujud terhadap seorang muslimat itu indah dan teruk tunduk kepada rasa itu. Rasa suka itu tak salah, Im. Kurniaan daripada Allah S.W.T, fitrah manusia. Tapi yang membuatnya salah adalah apabila kita meletakkan rasa indah terhadap ciptaan-Nya itu tersikit ke hadapan berbanding pada Pencipta itu sendiri."


Fahim menunduk. Dia malu, dia tidak sehebat Ahnaf. Ahnaf bukannya lepasan Maahad mahupun sekolah agama tinggi, tetapi seribu kali lebih baik daripada dia yang belajar di sekolah agama tinggi dulu.

Ahnaf seorang yang tenang, jika dia tidak senyum pun, nampak muka seperti senyum Smiling face orang kata.

Ahnaf tak macam dia, yang diganggu gangguan cinta dunia. Sungguh, dia sangat-sangat segan dengan anak muda di sebelahnya ini.

"Im, aku tak sehebat macam yang kau sangka. Aku pun manusia, kadang-kadang terjatuh dalam jurang dunia. Tapi, bila kita tahu Iman kita makin merudum, kita patut cari balik paksi hati. Iaitu tak lain hanya pada Ilahi." Ahnaf merenung kepada Fahim yang semakin hilang sinar gelisah, tidak seperti awal-awal tadi.

"Aku dah cuba tak pandang wajah dia, Ahnaf.  Aku dah cuba tak ingat, dah cuba buang. Tapi, kuliah aku banyak sama dengan dia. Nak elak, tapi terpandang jugak." wajah Fahim kembali tegang.

Firman-Nya dalam surah an-Nur ayat ke 30:

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kehormatannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."

"Jangan jadikan semua itu sebagai satu sebab yang buat kau tunduk pada godaan syaitan, Im. Dia dah cakap dalam surah an-Nur. InsyaAllah, kau kena mujahadah untuk betul-betul tundukkan pandangan. Allah tahu Im, usaha kita takat mana. Dia sedang uji, nak beritahu tanda Dia sayang."


Fahim hanya diam tidak berkutik.

Ayat 36 Surah Muhammad:

"Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu. Dan Dia tidak meminta hartamu."

Dunia, equal to a game and a joke. Angan kosong yang kau rasa pada si dia, cuma satu permainan dan gurauan dunia, Im. Sebab angan kosong tu tak letakkan Allah sebagai raja, tapi nafsu itu sebagai raja."

Fahim menitiskan air mata. Dia tahu, dia sudah jadikan nafsu dan angan kosong tiupan syaitan itu sebagai raja. Jahatnya dia, kerana itulah rasa sakit. Sakit kerana dia tidak letakkan Allah S.W.T pada paksi hatinya.

Bibirnya beristighfar. Dia dah melebih-lebih sangat dalam soal ini. Padahal ummi dan walid hantar dia ke universiti untuk mencari ilmu, bukan untuk tunduk dengan perasaan.

"Kau...betul suka dia?" Ahnaf teragak-agak bertanya. Ish, soalan sensitif ni. Kena pakai psikologi. Hehe.

Fahim mengangkat muka, hendak tergelak dia dengar soalan yang keluar dari mulut Ahnaf yang tidak pernah berbicara soal hati dan cinta manusia ini.

"What?? Apa pandang-pandang, gelak je lar kalau nak gelak. Aku pun manusia juga yang ada perasaan,okay?? Soalan normal la tu.. Nak jawab, jawab.. Tak nak, up to you.." Ahnaf mencebik bibir.

Terlepas gelak kecil daripada Fahim. Untungnya siapa dapat Ahnaf.  Ahnaf yang penuh ilmu dan Iman, penuh santai dan sempoi. Dia selalu cakap dekat Ahnaf, mesti bakal isteri Ahnaf nanti perfect macam Ahnaf juga.

Tetapi Ahnaf selalu merendah diri dan selalu cakap, semua ini milik Yang Esa dan tidak ada manusia yang perfect seperti Rasulullah SAW. Betul, dia selalu disedarkan tentang khilafnya, hanya dengan tingkah bicara Ahnaf.


"Entahla Ahnaf. Nak cakap suka, tak berani. Nak cakap tak suka, entah aku pun tak tahu."

"Kalau kau suka dia, kau tahu apa patut kau buat?" Ahnaf merenung ke hadapan masjid.

"Kau nak suruh aku pinang dia? Aku...tak sedia lagi la Ahnaf." Bulat mata Fahim, terkejut dengan saranan yang bakal disuarakan Ahnaf.

"Ish ish.. Itulah, kalau orang cakap, jangan sibuk menyampuk. Ada aku suruh jawab soalan?" Ahnaf menggeleng-geleng kepalanya.

"Dah kau tanya, aku jawab la." Fahim mencebik.

Ahnaf tergelak kecil. "Macam ni, kalau suka dia, jaga la dia."

Fahim merenung Ahnaf tanpa riak.

"Aku tak habis cakap lagi. Aku nak kata, jaga dia dengan menundukkan pandangan kau. Kalau kita sayang seseorang, kita mesti nak dia selamat sejahtera kan? Jangan buat dia jadi fitnah dalam hati kita. Jangan buat dia terperasan yang kau ada hati pada dia, boleh?"

Fahim kembali mengangguk perlahan. "Jodoh untuk kita tu hadir melalui hati juga kan Ahnaf?"

"Dan pemilik hati itu siapa, wahai sahabatku?" Ahnaf menjeling Fahim yang sedang menunduk.

"Rabbul Izzati, Yang Tertinggi." Fahim menjawab perlahan.

"Good boy! Jadi, kalau nak, mohon pada Dia, cinta pada Dia saja. Insya-Allah sejahtera dunia Akhirat." Ahnaf tersenyum.

Fahim mengangkat muka. "Jazakillah ya akhi, kau tak tau bersyukurnya aku ada sahabat macam kau."

"Alhamdulillah, hadza min fadhli Rabbi, Im. Sama-sama kita betulkan andai tersilap langkah." Ahnaf bangun melipat sejadah yang digunakan Fahim tadi.

"Jom, aku banyaaaakkk sangaaaatttt kerja yang tak satle lagi.. Fahmi nak stay up tak?" Ahnaf meletak sejadah di dalam almari masjid.

"Jom! Lepas tu qiam sama-sama eh!"

Fahim melingkarkan tangan ke bahu Ahnaf.  Bersama-sama melangkah dengan semangat yang baru. Cinta pada Dia sahaja. Insya-Allah, yang lain bakal cinta pada mereka juga.

Bahagia bukan, andai Allah SWT itu menjadi paksi hati.. Bersahabat hanya kerana mencari redha-Nya. (◕‿◕) 



✽ Sifat Malu ✽


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكُ بْنُ أَنَسٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَرَّ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَهُوَ يَعِظُ أَخَاهُ فِي الْحَيَاءِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ دَعْهُ فَإِنَّ الْحَيَاءَ مِنَ الإِيمَانِ‏"‏‏[1].

Maksud Hadith :
Dari ‘Abdullah bin Yusuf, dari Malik bin Anas, dari Ibn Shihab, dari Salim bin ‘Abdullah, dari ayahnya, bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW melintasi (melalui) seorang lelaki dari kaum Ansar yang sedang memberi nasihat mengenai sifat malu kepada saudaranya. Lalu beliau pun berkata kepada lelaki   Ansar itu: Biarkanlah dia, sesungguhnya sifat malu itu sebahagian daripada keimanan. [HR al-Bukhâri]

 ི♥ྀ SYARH MUFRADAT  ི♥ྀ

*Marra (مَرَّ) : Melalui, lalu.
*Rajulin (رَجُلٍ ) : Lelaki. Seorang lelaki dari kaum Ansar
*Al-Ansar (الأَنْصَارِ) Kaum Ansar
*Ya’izu (يَعِظُ) : Nasihat. Nasihat mengenai sifat
*Akhahu (أَخَاهُ) : Saudaranya
*Al-Haya’ (الْحَيَاءِ) : Malu. Al-Haya’ menurut syarak ialah sifat akhlak yang mendorong menjauhi perkara-perkara yang buruk dan mencegah dari cuai menunaikan hak kepada yang empunya. (Ibn Hajar 1: 58) 
*Da’hu (دَعْهُ) : Biarkanlah dia
*Al-Iman (الإِيمَانِ‏: Keimanan

 ི♥ྀ SYARH BAYAN MA’ANI  ི♥ྀ

Malu menurut Dr. Hasan Syamsi Basa dalam bukunya yang bertajuk “Bahagiakan dirimu dan orang lain”, beliau mengatakan “malu adalah menahan atau mencegah segala perbuatan yang dipandang buruk oleh akal dan perasaan, serta pengingkaran terhadap segala bentuk perbuatan yang tidak diredhai Tuhan dan makhluk”.

Malu juga adalah akhlak yang mulia yang mencegah seseorang dari perbuatan haram dan mungkar, serta dapat menjaga seseorang agar tidak terjerumus kedalam lembah maksiat yang penuh dengan dosa, maka barang siapa yang hilang rasa malu dari dalam dirinya, dia  akan menjadi seperti  anak zina yang akan merasa jijik dengan segala kebaikan, Allah SWT telah berfirman: 

Maksudnya:
“Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kamu kembali." [QS: Faathir:18]

Definisi malu sudah dijelakan pada awal perbahasan. Ibnu Daqiq Al-Id menyebutkan dalam Syarh Al-Umdah bahawa makna dasar malu adalah mencegah, ia juga digunakan dalam erti menahan. Namun, yang sebenarnya perkataan mencegah itu adalah kesan daripada malu walaupun ia bukan maksud asalnya. Oleh kerana mencegah termasuk kesan malu, maka digalakkan seseorang itu untuk selalu memiliki perasaan malu yang merupakan motivasi dalam diri untuk mencegah diri dari perbuatan maksiat.
            
        Dalam bab ini, Imam Bukhari membahaskan hadith Abdullah bin Umar yang diriwayatkan melalui Ahmad bin Yunus, dari Abdul Aziz bin Abi Salamah Al-Majisyun, dari Ibnu Syihab, dari Salim.

مَرَّ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَهُوَ يَعِظُ أَخَاهُ فِي الْحَيَاءِ،
“Rasulullah SAW berlalu pada seorang lelaki dari kaum Ansar yang sedang memberi nasihat mengenai sifat malu kepada saudaranya.”

Hal ini sudah disebutkan pada bahagian awal perbahasan tentang iman. Saya belum mengetahui nama lelaki yang dimaksudkan dan juga nama saudaranya. Maksud nasihat disini adalah menyebutkan kepadanya kesan negatif dari sikapnya yang pemalu.

الْحَيَاءَ مِنَ الإِيمَانِ‏
“Malu adalah sebahagian daripada iman”

Ibnu Al-Tin menyebutkan dari Abu Abdul Malik bahawa yang dimaksudkan adalah kesempurnaan iman seseorang. Abu ubaid Al-Harawi berkata, “Maknanya, seseorang pemalu akan berhenti dari perbuatan maksiat kerana sifat malunya meskipun tidak memiliki takwa, maka jadilah malu seperti iman yang memutuskan antara seseorang dengan kemaksiatan.”

Adapun Iyadh dan selainnya berkata, “Hanya malu sahaja dijadikan sebahagian daripada iman walaupun ia tergolong dalam naluri, kerana penggunaanya sesuai  dengan ketentuan syariat yang memerlukan niat, usaha, dan ilmu. Walaupun malu itu sebagai satu kebaikan dan tidak mendatangkan keburukan, namun ia menjadi satu kesukaran bila difahami maksudnya secara umum kerana kebiasaanya malu membuatkan seseorang menentang perbuatan kemungkaran dan kadang-kadang pula mendorongnya mengurangi sebahagian hak. Namun, hal tersebut telah terjawab bahawa malu yang dimaksudkan pada hadith-hadith ini adalah malu dalam pengertian syariat. Sedangkan, malu yang menyebabkan tidak sesuatu hak tidak dipenuhi adalah malu yang bukan disyariatkan, tetapi merupakan satu kelemahan. Ia disebut malu kerana ia sama dengan maksud malu yang disyariatkan iaitu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perbuatan yang tidak baik”.

            Saya (Ibnu Hajar) mengatakan, kemungkinan juga pernyataan ini mengisyaratkan kepada orang yang memiliki tabiat malu, bahawa kebaikan pada dirinya lebih menonjol atau berkuasa, sehingga hal-hal negatif  yang timbul akan menjadi penutup segala kebaikan yang diperoleh kerana sifat malu. Apabila sifat malu ini telah menjadi kebiasaan dan sifat seseorang, ia akan menjadi penyebab untuk mendapatkan kebaikan bagi dirinya.

Dan sesiapa yang tidak diberikan sifat haya’ secara fitrah, ia dituntut untuk berusaha dan belajar untuk memilikinya. Tambahan pula, ia dituntut dalam Islam. Sebagaimana disebut dalam hadith Hasan:

ان لكل دين خلقا و خلق الاسلام الحياء
“Sesungguhnya bagi setiap agama ada akhlak dan akhlak Islam adalah sifat haya”[2]

Dan disebut bahawa, haya’ termasuk sunnah para rasul dan ia adalah sebahagian daripada iman:

الحياء من الاءيمان والاءيمان فى الجنة والبذاء من الجفاء والجفاء فى النار
“Haya’ termasuk bahagian dari iman dan iman (balasannya) di syurga. Dan ucapan cabul termasuk sifat tidak sopan dan tidak sopan itu di neraka.”[3]

            Engkau melihat lelaki yang pemalu kemerah mukanya apabila muncul darinya sesuatu yang berlawanan dengan sifat haya’: Rasulullah lebih pemalu dari seorang gadis dalam biliknya dan apabila beliau tidak menyukai sesuatu hal itu terlihat dari wajahnya.[4]

            Kesimpulan definisi di atas ialah bahawa malu adalah akhlak (perangai) yang mengajak seseorang untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk dan tercela, sehingga mampu menghalangi seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain.[5]

:: Malu Yang Terpuji ::

Ibnu Abbas Al-Qurthubi berkata, “Malu yang diusahakan adalah malu yang dijadikan sebahagian daripada iman. Sesiapa sahaja yang memiliki sifat malu, nescaya akan membantunya untuk mendapatkan sebahagian daripada iman. Sehinggakan ia akan menjadi satu naluri bagi seseorang” dia berkata, “Nabi Muhammad SAW memiliki kedua-dua sifat malu itu, malu baginda SAW secara naluri melebihi malu seorang perempuan kampung. Sedangkan malu yang diusahakan oleh baginda SAW berada dipuncak yang tertinggi”.

لا يأتي الا بخير الحياء
“al Haya’ (Rasa malu) tidak datang kecuali dengan kebaikan.”

Sesungguhnya di antara tanda-tanda kesempurnaan tarbiyah ialah engkau bertemu seorang mukmin yang kuat, teguh, bersifat pemalu, beradab dan tenang.

            Malu yang terpuji ialah suatu perlakuan untuk meninggalkan yang tercela.[6] Seperti yang didefinisikan oleh Ibnu Hajar rahimahullah. Walau bagaimanapun, hal ini tidak termasuk sifat malu  dalam kebenaran dan memahami agama. Ini adalah sebahagian yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar ketika membahagikan sifat haya’ dari segi syari’ dan tidak.

Beliau berkata, haya’ dari segi syari’ adalah seperti mendahulukan dan menghormati orang lebih tua, itulah yang dimaksudkan terpuji. Jikalau orang lebih tua tersebut meninggalkan perkara syara’, tidak boleh merasa malu dengan terus mengikutinya kerana ia adalah yang tercela dan tidak termasuk haya’ pada syara’ bahkan ia pada dasarnya adalah sifat lemah dan hina.[7]

Benarlah kaum Jahilliyah (di dalam kejahilan mereka) lebih jauh dari perbuatan buruk kerana dorongan sifat haya’. Antaranya yang pernah terjadi pada Abu Sufyah r.a di hadapan Hercalus. Apabila ia ditanya tentang Rasulullah SAW, ia berkata: “Demi Allah, jika bukan kerana malu bahawa mereka menuduh aku berdusta nescaya aku berdusta tentang dia.”[8] Maka sifat haya’ menghalangi dia mengada-ada (berdusta) terhadap Rasulullah SAW agar dia tidak dikatakan pendusta. Pada zaman sekarang, kaum muslimin sangat memerlukan akhlak atau sifat malu ini agar dapat menjaga kata-kata dan menahan diri dari perbuatan keji dan shahwat dengan adanya perasaan malu tersebut.

Dan termasuk sifat haya’ ialah dengan menghormati orang yang lebih tua, sebagaimana Ibn Umar terhadap Rasulullah s.a.w iaitu ketika Rasulullah bertanya kepada para sahabat: “Sesungguhnya di antara pohon ada satu pohon yang tidak jatuh daunnya, dan ia seperti seorang muslim. Ceritakanlah kepadaku, apakah dia?”[9] 

Ibnu Umar  RA mengetahui bahawa ia adalah pohon kurma dan merasa malu untuk menjawab dan ia memberi alasan malunya (seperti dalam beberapa riwayat hadith) bahawa ia melihat dirinya adalah yang paling muda dan ia melihat adanya Abu Bakr RA dan Umar RA yang tidak berkata-kata, maka ia tidak senang berkata-kata.[10] Alangkah lapangnya dada masyarakat tersebut kerana yang muda merasa malu pada yang tua, dan manusia berinteraksi dengan saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

            Sifat haya’ itu sendiri merupakan penjaga dari terjerumus dalam perbuatan maksiat. Diriwayatkan bahawa seorang sahabat mencela saudaranya kerana sifat malunya. Seolah-olah ia berkata: “sifat haya’ telah merugikanmu.” Maka Rasulullah SAW bersabda:

فان الحياء من الايمان دعه
“Biarkan dia, sesungguhnya sifat haya’ itu termasuk bahagian dari iman”.[11] 

Abu Ubaid al-Harawi berkata: maksudnya, sesungguhnya orang yang merasa malu terputus dengan sifat malunya dari perbuatan maksiat, maka jadilah ia seperti iman yang memutuskan di antaranya dan perbuatan maksiat. Kerana itulah Rasulullah SAW menyebutkan secara umum dalam menjelaskan sifat haya’, baginda bersabda:

لا يأتي الا بخير الحياء
“Haya’ (malu) tidak datang kecuali dengan kebaikan.”

            Sebagaimana sifat haya’ merupakan adab bersama makhluk maka ia juga merupakan adab (tatacara) tertinggi bersama Tuhan yang disebut al-Khaliq (Allah taala Yang Maha Mencipta). Disebutkan beberapa orang nabi seperti Adam a.s, Nuh AS, dan Musa AS diminta untuk memberi syafaat di hari kiamat dan umat manusia berkata kepada setiap orang dari mereka : “Berikanlah syafaat kepada kami di sisi Rabb mu sehingga Dia melapangkan kami dari tempat kami ini”. Ia (Adam AS) berkata: “Aku tidak layak dan beliau menyebutkan dosanya lalu merasa malu. Aku tidak layak”. Kemudian ia (Nuh AS) menyatakan juga bahawa dirinya tidak layak dan merasa malu, seterusnya ia (Nabi Musa AS) menyebutkan bahawa dirinya pernah membunuh jiwa yang tidak berdosa lalu ia merasa malu kepada Rabb-nya.[12] Semuanya merasa berat dan dihalangi oleh rasa malu untuk berani meminta syafaat.

Malu adalah satu kata yang merangkumi perbuatan menjauhi segala apa yang dibenci[13]. Imam Ibnul Qayyim rahimahullâh berkata, “Malu berasal dari kata hayaah (hidup), dan ada yang berpendapat bahawa malu berasal dari kata al-hayaa (hujan), tetapi makna ini tidak masyhûr. Hidup dan matinya hati seseorang sangat mempengaruhi sifat malu orang tersebut. Begitu juga dengan hilangnya rasa malu, dipengaruhi oleh kadar kematian hati dan roh seseorang. Sehingga setiap kali hati kita hidup dengan rasa malu, ia akan menjadi lebih sempurna".

            Al-Junaid rahimahullâh berkata, “Rasa malu iaitu melihat kenikmatan dan kecuaian sehingga menimbulkan suatu keadaan yang disebut dengan malu. Hakikat malu ialah sikap yang memotivasi untuk meninggalkan keburukan dan mencegah sikap mengsia-siakan hak pemiliknya.”[14]

:: Malu Yang Tercela ::

Tidak sepatutnya bersifat haya’ dalam menuntut hak, mengajar orang yang jahil, dan bertanya sesuatu yang tidak diketahui. Mujahid rahimahullah berkata : “Tidak akan dapat menuntut ilmu bagi orang yang pemalu dan sombong”. Aisyah R.A berkata: “Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar, rasa malu tidak menghalangi mereka untuk bertanya tentang masalah agama”.[15] Ummu Sulaim RA bertanya dalam masalah-masalah kecil dalam hukum yang berkaitan dengan wanita, dan dia membuka pertanyaan dengan ucapannya : “Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT tidak malu dari kebenaran” Ibnu Hajar rahimahullah berkata maksudnya Dia (Allah) tidak menyuruh malu dalam kebenaran.[16]

         Qâdhi ‘Iyâdh rahimahullâh dan yang lainnya mengatakan, “Malu yang menyebabkan mengsia-siakan hak bukanlah malu yang disyari’atkan, bahkan ia merupakan  ketidak mampuan dan kelemahan seseorang. Adapun ia dimutlakkan dengan sebutan malu kerana menyerupai malu yang disyari’atkan.” Oleh demikian, malu yang menyebabkan seseorang itu mengsia-siakan hak Allah SWT sehingga dia beribadah kepada Allah dengan kebodohan tanpa bertanya tentang urusan agamanya, mengsia-siakan hak-hak dirinya sendiri, hak-hak orang yang menjadi tanggungannya, dan hak-hak kaum muslimin, adalah tercela kerana pada hakikatnya ia menunjukna kelemahan dan ketidak berdayaan seseorang itu.[17]



         Di antara sifat malu yang tercela adalah malu untuk menuntut ilmu syar’i, malu mengaji, malu membaca Al-Quran, malu melakukan amar ma’ruf nahi munkar yang menjadi kewajiban seorang Muslim, malu untuk solat berjama’ah di masjid bersama kaum muslimin, malu memakai pakaian Muslimah yang syar’i, malu mencari nafkah yang halal untuk keluarganya bagi laki-laki, dan yang seumpama dengannya. Sifat malu seperti ini tercela karena akan menghalanginya memperoleh kebaikan yang sangat besar. 





 ི♥ྀ Perbahasan berkenaan tidak bolehnya malu dalam menuntut ilmu ི♥ྀ

Imam Mujahid rahimahullah berkata,
لاَ يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ مُسْتَحْيٍ وَلاَ مُسْتَكْبِـر
“Orang yang malu dan orang yang sombong tidak akan mendapatkan ilmu.”[18]

Ummul Mukminin ‘Âisyah RA  pernah berkata tentang sifat para wanita Anshâr,


نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ اْلأَنْصَارِ ، لَـمْ يَمْنَعْهُنَّ الْـحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِـي الدِّيْنِ
Maksudnya : “Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshâr. Rasa malu tidak menghalangi mereka untuk memperdalam ilmu Agama.”[19]

Para wanita Anshâr radhiyallâhu ‘anhunna selalu bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam jika ada permasalahan agama yang masih rumit bagi mereka. Rasa malu tidak menghalangi mereka demi menimba ilmu yang bermanfaat.

Ummu Sulaim radhiyallâhu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah SAW.! Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak malu terhadap kebenaran, apakah seorang wanita wajib mandi apabila ia mimpi (berjimâ)?” Rasulullah SAW menjawab, “Apabila ia melihat air.”[20]

            Melalui hadith-hadith yang dinyatakan di atas, jelaslah menunjukkan bahawa seseorang itu dilarang mempunyai perasaan malu di dalam menuntut ilmu.


 ི♥ྀ PENGAJARAN HADITH / FAWÂÎD HADÎTH  ི♥ྀ

 ღ. Hadith ini menunjukkan bahawa malu itu keseluruhannya adalah baik. Barangsiapa banyak rasa malunya, banyak pula kebaikannya dan manfaatnya lebih menyeluruh. Dan barangsiapa yang sedikit rasa malunya, sedikit pula kebaikannya.

 ღ. Sifat malu semuanya terpuji dan salah satu wasiat yang disampaikan dan disyari’atkan oleh para Nabi terdahulu. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam sendiri mempunyai pribadi yang sangat pemalu.           
     
   ღ. Allah Azza wa Jalla Maha Pemalu dan menyukai sifat malu serta mencintai hamba-Sifat malu (al-haya’) menurut syarak adalah merupakan satu sifat yang mulia kerana sifat itu yang menghalang seseorang itu dari melakukan perkara yan dihalang oleh syarak dan menjadikan seseorang itu menunaikan kewajipan-kewajipan yang dipertanggung jawabkan ke atasnya.

 ღ. Malu adalah sifat yang mendorong pemiliknya untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk. Orang-orang Jahiliyyah dahulu memiliki rasa malu yang mencegah mereka dari mengerjakan sebahagian perbuatan keji.

  ღ. Malu yang mencegah seseorang dari menuntut ilmu dan mencari kebenaran adalah malu yang tercela.

 ღ. Setiap agama memiliki akhlak dan akhlak Islam adalah malu. Buah dari malu adalah ‘iffah (menjaga   kehormatan) dan wafa' (setia).

 ღ. Lawan dari malu adalah tidak tahu malu (muka tembok), ia adalah perangai yang membawa pemiliknya melakukan keburukan dan tenggelam di dalamnya serta tidak malu melakukan maksiat secara terang-terangan. Padahal Rasulullah SAW bersabda, Ertinya: “Setiap umatku pasti dimaafkan, kecuali orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan.”  [Shahîh: HR.al-Bukhâri (no. 6096) dan Muslim (no. 2990) dari Abû Hurairah]

  ღ. Para orang tua wajib menanamkan rasa malu kepada anak-anak mereka.
كُلُّ أُمَّـتِيْ مُعَافًى إِلاَّ الْـمُجَاهِرِيْنَ
  
  ღ. Iman itu mempunyai cabang yang banyak dan berbeza-beza dari segi tuntutannya. Ada yang wajib, ada yang sunnat. Ada yang fardhu ain, ada yang fardhu kifayah. Larangannya juga ada pelbagai jenis, yang paling besarnya ialah kufur, syirik dan munafik, selepas itu dosa-doa besar dan seterusnya segala perkara-perkara yang dilarang.

 ღ. Iman itu juga merangkumi perkataan dan perbuatan. Perbuatan itu merangkumi perbuatan hati dan perbuatan anggota yang zahir.






[1] Shahîh: HR.al-Bukhâri (no. 24, 6118), Muslim (no. 36), Ahmad (II/9), Abû Dâwud (no. 4795), at-Tirmidzî (no. 2516), an-Nasâ-i (VIII/121), Ibnu Mâjah (no. 58), dan Ibnu Hibbân (no. 610) dari Ibnu ‘Umar radhiyallâhu ‘anhu.
[2] Sahih Sunan Ibn Majah 2/406, hadith no.3370/4181 (Hasan)
[3] Sahih Sunan Ibn Majah 2/406, hadith no. 3373/4184 (Sahih)
[4] Sahih Al-Bukhari, kitab adab, bab ke 77, hadith no.6119 (Fath 10/521)Sahih Sunan Ibn Majah 2/406, hadith  no.3369 (Sahih)
[5] A-Haya' fî Dhau-il Qur-ânil Karîm wal Ahâdîts ash-Shahîhah (hal. 9).
[6] Fathul Bari 1/522 ketika mensyarahkan bab haya’ dalam kitab adab, hadith no.6118
[7] Fathul Bari 1/229 ketika mensyarahkan bab haya’ dalam ilmu dari kitab iman.
[8] Sahih Al-Bukhari, kitab permulaan wahyu, bab ke 6, hadith no.7 (Fath 1/31)
[9] Sahih Al-Bukhari, kitab ilmu, bab ke 4, hadith no.61.
[10] Fathul Bari 1/146
[11] Sebagaimana hadith yang dirujuk dari Fathul Bari 10/522 ketika menerangkan hadith 6118
[12] Sahih al-Bukhari, kitab tafsir, surah ke2, bab 1, hadith no.4476 (Fath 8/160)
[13] Raudhatul ‘Uqalâ wa Nuzhatul Fudhalâ' (hal. 53)
[14] Madârijus Sâlikîn (II/270). Lihat juga Fathul Bâari (X/522) tentang definisi malu.
[15] Sahih Al-Bukhari, kitab ilmu, dari terjemahan bab 50 (Fath 1/228)
[16] Ketika Ibnu Hajar menjelaskan potongan hadith 130 dari Sahih al-Bukhari
[17] Qawâ’id wa Fawâid (hal. 182)
[18] Atsar shahîh: Diriwayatkan oleh al-Bukhâri secara mu’allaq dalam Shahîh-nya kitab al-‘Ilmu bab al-Hayâ' fil ‘Ilmi dan Ibnu ‘Abdil Barr dalam al-Jâmi’ bayânil ‘Ilmi wa Fadhlihi (I/534-535, no. 879).
[19] Atsar shahîh: Diriwayatkan oleh al-Bukhâri dalam Shahîhnya kitab al-‘Ilmu bab al-Hayâ' fil ‘Ilmi secara mu’allaq.
[20] Shahîh: HR.al-Bukhâri (no. 130) dan Muslim (no. 313).