Sunday, 7 July 2013

✽ Sifat Malu ✽


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ، قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكُ بْنُ أَنَسٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَرَّ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَهُوَ يَعِظُ أَخَاهُ فِي الْحَيَاءِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ دَعْهُ فَإِنَّ الْحَيَاءَ مِنَ الإِيمَانِ‏"‏‏[1].

Maksud Hadith :
Dari ‘Abdullah bin Yusuf, dari Malik bin Anas, dari Ibn Shihab, dari Salim bin ‘Abdullah, dari ayahnya, bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW melintasi (melalui) seorang lelaki dari kaum Ansar yang sedang memberi nasihat mengenai sifat malu kepada saudaranya. Lalu beliau pun berkata kepada lelaki   Ansar itu: Biarkanlah dia, sesungguhnya sifat malu itu sebahagian daripada keimanan. [HR al-Bukhâri]

 ི♥ྀ SYARH MUFRADAT  ི♥ྀ

*Marra (مَرَّ) : Melalui, lalu.
*Rajulin (رَجُلٍ ) : Lelaki. Seorang lelaki dari kaum Ansar
*Al-Ansar (الأَنْصَارِ) Kaum Ansar
*Ya’izu (يَعِظُ) : Nasihat. Nasihat mengenai sifat
*Akhahu (أَخَاهُ) : Saudaranya
*Al-Haya’ (الْحَيَاءِ) : Malu. Al-Haya’ menurut syarak ialah sifat akhlak yang mendorong menjauhi perkara-perkara yang buruk dan mencegah dari cuai menunaikan hak kepada yang empunya. (Ibn Hajar 1: 58) 
*Da’hu (دَعْهُ) : Biarkanlah dia
*Al-Iman (الإِيمَانِ‏: Keimanan

 ི♥ྀ SYARH BAYAN MA’ANI  ི♥ྀ

Malu menurut Dr. Hasan Syamsi Basa dalam bukunya yang bertajuk “Bahagiakan dirimu dan orang lain”, beliau mengatakan “malu adalah menahan atau mencegah segala perbuatan yang dipandang buruk oleh akal dan perasaan, serta pengingkaran terhadap segala bentuk perbuatan yang tidak diredhai Tuhan dan makhluk”.

Malu juga adalah akhlak yang mulia yang mencegah seseorang dari perbuatan haram dan mungkar, serta dapat menjaga seseorang agar tidak terjerumus kedalam lembah maksiat yang penuh dengan dosa, maka barang siapa yang hilang rasa malu dari dalam dirinya, dia  akan menjadi seperti  anak zina yang akan merasa jijik dengan segala kebaikan, Allah SWT telah berfirman: 

Maksudnya:
“Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kamu kembali." [QS: Faathir:18]

Definisi malu sudah dijelakan pada awal perbahasan. Ibnu Daqiq Al-Id menyebutkan dalam Syarh Al-Umdah bahawa makna dasar malu adalah mencegah, ia juga digunakan dalam erti menahan. Namun, yang sebenarnya perkataan mencegah itu adalah kesan daripada malu walaupun ia bukan maksud asalnya. Oleh kerana mencegah termasuk kesan malu, maka digalakkan seseorang itu untuk selalu memiliki perasaan malu yang merupakan motivasi dalam diri untuk mencegah diri dari perbuatan maksiat.
            
        Dalam bab ini, Imam Bukhari membahaskan hadith Abdullah bin Umar yang diriwayatkan melalui Ahmad bin Yunus, dari Abdul Aziz bin Abi Salamah Al-Majisyun, dari Ibnu Syihab, dari Salim.

مَرَّ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَهُوَ يَعِظُ أَخَاهُ فِي الْحَيَاءِ،
“Rasulullah SAW berlalu pada seorang lelaki dari kaum Ansar yang sedang memberi nasihat mengenai sifat malu kepada saudaranya.”

Hal ini sudah disebutkan pada bahagian awal perbahasan tentang iman. Saya belum mengetahui nama lelaki yang dimaksudkan dan juga nama saudaranya. Maksud nasihat disini adalah menyebutkan kepadanya kesan negatif dari sikapnya yang pemalu.

الْحَيَاءَ مِنَ الإِيمَانِ‏
“Malu adalah sebahagian daripada iman”

Ibnu Al-Tin menyebutkan dari Abu Abdul Malik bahawa yang dimaksudkan adalah kesempurnaan iman seseorang. Abu ubaid Al-Harawi berkata, “Maknanya, seseorang pemalu akan berhenti dari perbuatan maksiat kerana sifat malunya meskipun tidak memiliki takwa, maka jadilah malu seperti iman yang memutuskan antara seseorang dengan kemaksiatan.”

Adapun Iyadh dan selainnya berkata, “Hanya malu sahaja dijadikan sebahagian daripada iman walaupun ia tergolong dalam naluri, kerana penggunaanya sesuai  dengan ketentuan syariat yang memerlukan niat, usaha, dan ilmu. Walaupun malu itu sebagai satu kebaikan dan tidak mendatangkan keburukan, namun ia menjadi satu kesukaran bila difahami maksudnya secara umum kerana kebiasaanya malu membuatkan seseorang menentang perbuatan kemungkaran dan kadang-kadang pula mendorongnya mengurangi sebahagian hak. Namun, hal tersebut telah terjawab bahawa malu yang dimaksudkan pada hadith-hadith ini adalah malu dalam pengertian syariat. Sedangkan, malu yang menyebabkan tidak sesuatu hak tidak dipenuhi adalah malu yang bukan disyariatkan, tetapi merupakan satu kelemahan. Ia disebut malu kerana ia sama dengan maksud malu yang disyariatkan iaitu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perbuatan yang tidak baik”.

            Saya (Ibnu Hajar) mengatakan, kemungkinan juga pernyataan ini mengisyaratkan kepada orang yang memiliki tabiat malu, bahawa kebaikan pada dirinya lebih menonjol atau berkuasa, sehingga hal-hal negatif  yang timbul akan menjadi penutup segala kebaikan yang diperoleh kerana sifat malu. Apabila sifat malu ini telah menjadi kebiasaan dan sifat seseorang, ia akan menjadi penyebab untuk mendapatkan kebaikan bagi dirinya.

Dan sesiapa yang tidak diberikan sifat haya’ secara fitrah, ia dituntut untuk berusaha dan belajar untuk memilikinya. Tambahan pula, ia dituntut dalam Islam. Sebagaimana disebut dalam hadith Hasan:

ان لكل دين خلقا و خلق الاسلام الحياء
“Sesungguhnya bagi setiap agama ada akhlak dan akhlak Islam adalah sifat haya”[2]

Dan disebut bahawa, haya’ termasuk sunnah para rasul dan ia adalah sebahagian daripada iman:

الحياء من الاءيمان والاءيمان فى الجنة والبذاء من الجفاء والجفاء فى النار
“Haya’ termasuk bahagian dari iman dan iman (balasannya) di syurga. Dan ucapan cabul termasuk sifat tidak sopan dan tidak sopan itu di neraka.”[3]

            Engkau melihat lelaki yang pemalu kemerah mukanya apabila muncul darinya sesuatu yang berlawanan dengan sifat haya’: Rasulullah lebih pemalu dari seorang gadis dalam biliknya dan apabila beliau tidak menyukai sesuatu hal itu terlihat dari wajahnya.[4]

            Kesimpulan definisi di atas ialah bahawa malu adalah akhlak (perangai) yang mengajak seseorang untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk dan tercela, sehingga mampu menghalangi seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain.[5]

:: Malu Yang Terpuji ::

Ibnu Abbas Al-Qurthubi berkata, “Malu yang diusahakan adalah malu yang dijadikan sebahagian daripada iman. Sesiapa sahaja yang memiliki sifat malu, nescaya akan membantunya untuk mendapatkan sebahagian daripada iman. Sehinggakan ia akan menjadi satu naluri bagi seseorang” dia berkata, “Nabi Muhammad SAW memiliki kedua-dua sifat malu itu, malu baginda SAW secara naluri melebihi malu seorang perempuan kampung. Sedangkan malu yang diusahakan oleh baginda SAW berada dipuncak yang tertinggi”.

لا يأتي الا بخير الحياء
“al Haya’ (Rasa malu) tidak datang kecuali dengan kebaikan.”

Sesungguhnya di antara tanda-tanda kesempurnaan tarbiyah ialah engkau bertemu seorang mukmin yang kuat, teguh, bersifat pemalu, beradab dan tenang.

            Malu yang terpuji ialah suatu perlakuan untuk meninggalkan yang tercela.[6] Seperti yang didefinisikan oleh Ibnu Hajar rahimahullah. Walau bagaimanapun, hal ini tidak termasuk sifat malu  dalam kebenaran dan memahami agama. Ini adalah sebahagian yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar ketika membahagikan sifat haya’ dari segi syari’ dan tidak.

Beliau berkata, haya’ dari segi syari’ adalah seperti mendahulukan dan menghormati orang lebih tua, itulah yang dimaksudkan terpuji. Jikalau orang lebih tua tersebut meninggalkan perkara syara’, tidak boleh merasa malu dengan terus mengikutinya kerana ia adalah yang tercela dan tidak termasuk haya’ pada syara’ bahkan ia pada dasarnya adalah sifat lemah dan hina.[7]

Benarlah kaum Jahilliyah (di dalam kejahilan mereka) lebih jauh dari perbuatan buruk kerana dorongan sifat haya’. Antaranya yang pernah terjadi pada Abu Sufyah r.a di hadapan Hercalus. Apabila ia ditanya tentang Rasulullah SAW, ia berkata: “Demi Allah, jika bukan kerana malu bahawa mereka menuduh aku berdusta nescaya aku berdusta tentang dia.”[8] Maka sifat haya’ menghalangi dia mengada-ada (berdusta) terhadap Rasulullah SAW agar dia tidak dikatakan pendusta. Pada zaman sekarang, kaum muslimin sangat memerlukan akhlak atau sifat malu ini agar dapat menjaga kata-kata dan menahan diri dari perbuatan keji dan shahwat dengan adanya perasaan malu tersebut.

Dan termasuk sifat haya’ ialah dengan menghormati orang yang lebih tua, sebagaimana Ibn Umar terhadap Rasulullah s.a.w iaitu ketika Rasulullah bertanya kepada para sahabat: “Sesungguhnya di antara pohon ada satu pohon yang tidak jatuh daunnya, dan ia seperti seorang muslim. Ceritakanlah kepadaku, apakah dia?”[9] 

Ibnu Umar  RA mengetahui bahawa ia adalah pohon kurma dan merasa malu untuk menjawab dan ia memberi alasan malunya (seperti dalam beberapa riwayat hadith) bahawa ia melihat dirinya adalah yang paling muda dan ia melihat adanya Abu Bakr RA dan Umar RA yang tidak berkata-kata, maka ia tidak senang berkata-kata.[10] Alangkah lapangnya dada masyarakat tersebut kerana yang muda merasa malu pada yang tua, dan manusia berinteraksi dengan saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

            Sifat haya’ itu sendiri merupakan penjaga dari terjerumus dalam perbuatan maksiat. Diriwayatkan bahawa seorang sahabat mencela saudaranya kerana sifat malunya. Seolah-olah ia berkata: “sifat haya’ telah merugikanmu.” Maka Rasulullah SAW bersabda:

فان الحياء من الايمان دعه
“Biarkan dia, sesungguhnya sifat haya’ itu termasuk bahagian dari iman”.[11] 

Abu Ubaid al-Harawi berkata: maksudnya, sesungguhnya orang yang merasa malu terputus dengan sifat malunya dari perbuatan maksiat, maka jadilah ia seperti iman yang memutuskan di antaranya dan perbuatan maksiat. Kerana itulah Rasulullah SAW menyebutkan secara umum dalam menjelaskan sifat haya’, baginda bersabda:

لا يأتي الا بخير الحياء
“Haya’ (malu) tidak datang kecuali dengan kebaikan.”

            Sebagaimana sifat haya’ merupakan adab bersama makhluk maka ia juga merupakan adab (tatacara) tertinggi bersama Tuhan yang disebut al-Khaliq (Allah taala Yang Maha Mencipta). Disebutkan beberapa orang nabi seperti Adam a.s, Nuh AS, dan Musa AS diminta untuk memberi syafaat di hari kiamat dan umat manusia berkata kepada setiap orang dari mereka : “Berikanlah syafaat kepada kami di sisi Rabb mu sehingga Dia melapangkan kami dari tempat kami ini”. Ia (Adam AS) berkata: “Aku tidak layak dan beliau menyebutkan dosanya lalu merasa malu. Aku tidak layak”. Kemudian ia (Nuh AS) menyatakan juga bahawa dirinya tidak layak dan merasa malu, seterusnya ia (Nabi Musa AS) menyebutkan bahawa dirinya pernah membunuh jiwa yang tidak berdosa lalu ia merasa malu kepada Rabb-nya.[12] Semuanya merasa berat dan dihalangi oleh rasa malu untuk berani meminta syafaat.

Malu adalah satu kata yang merangkumi perbuatan menjauhi segala apa yang dibenci[13]. Imam Ibnul Qayyim rahimahullâh berkata, “Malu berasal dari kata hayaah (hidup), dan ada yang berpendapat bahawa malu berasal dari kata al-hayaa (hujan), tetapi makna ini tidak masyhûr. Hidup dan matinya hati seseorang sangat mempengaruhi sifat malu orang tersebut. Begitu juga dengan hilangnya rasa malu, dipengaruhi oleh kadar kematian hati dan roh seseorang. Sehingga setiap kali hati kita hidup dengan rasa malu, ia akan menjadi lebih sempurna".

            Al-Junaid rahimahullâh berkata, “Rasa malu iaitu melihat kenikmatan dan kecuaian sehingga menimbulkan suatu keadaan yang disebut dengan malu. Hakikat malu ialah sikap yang memotivasi untuk meninggalkan keburukan dan mencegah sikap mengsia-siakan hak pemiliknya.”[14]

:: Malu Yang Tercela ::

Tidak sepatutnya bersifat haya’ dalam menuntut hak, mengajar orang yang jahil, dan bertanya sesuatu yang tidak diketahui. Mujahid rahimahullah berkata : “Tidak akan dapat menuntut ilmu bagi orang yang pemalu dan sombong”. Aisyah R.A berkata: “Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar, rasa malu tidak menghalangi mereka untuk bertanya tentang masalah agama”.[15] Ummu Sulaim RA bertanya dalam masalah-masalah kecil dalam hukum yang berkaitan dengan wanita, dan dia membuka pertanyaan dengan ucapannya : “Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT tidak malu dari kebenaran” Ibnu Hajar rahimahullah berkata maksudnya Dia (Allah) tidak menyuruh malu dalam kebenaran.[16]

         Qâdhi ‘Iyâdh rahimahullâh dan yang lainnya mengatakan, “Malu yang menyebabkan mengsia-siakan hak bukanlah malu yang disyari’atkan, bahkan ia merupakan  ketidak mampuan dan kelemahan seseorang. Adapun ia dimutlakkan dengan sebutan malu kerana menyerupai malu yang disyari’atkan.” Oleh demikian, malu yang menyebabkan seseorang itu mengsia-siakan hak Allah SWT sehingga dia beribadah kepada Allah dengan kebodohan tanpa bertanya tentang urusan agamanya, mengsia-siakan hak-hak dirinya sendiri, hak-hak orang yang menjadi tanggungannya, dan hak-hak kaum muslimin, adalah tercela kerana pada hakikatnya ia menunjukna kelemahan dan ketidak berdayaan seseorang itu.[17]



         Di antara sifat malu yang tercela adalah malu untuk menuntut ilmu syar’i, malu mengaji, malu membaca Al-Quran, malu melakukan amar ma’ruf nahi munkar yang menjadi kewajiban seorang Muslim, malu untuk solat berjama’ah di masjid bersama kaum muslimin, malu memakai pakaian Muslimah yang syar’i, malu mencari nafkah yang halal untuk keluarganya bagi laki-laki, dan yang seumpama dengannya. Sifat malu seperti ini tercela karena akan menghalanginya memperoleh kebaikan yang sangat besar. 





 ི♥ྀ Perbahasan berkenaan tidak bolehnya malu dalam menuntut ilmu ི♥ྀ

Imam Mujahid rahimahullah berkata,
لاَ يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ مُسْتَحْيٍ وَلاَ مُسْتَكْبِـر
“Orang yang malu dan orang yang sombong tidak akan mendapatkan ilmu.”[18]

Ummul Mukminin ‘Âisyah RA  pernah berkata tentang sifat para wanita Anshâr,


نِعْمَ النِّسَاءُ نِسَاءُ اْلأَنْصَارِ ، لَـمْ يَمْنَعْهُنَّ الْـحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ فِـي الدِّيْنِ
Maksudnya : “Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshâr. Rasa malu tidak menghalangi mereka untuk memperdalam ilmu Agama.”[19]

Para wanita Anshâr radhiyallâhu ‘anhunna selalu bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam jika ada permasalahan agama yang masih rumit bagi mereka. Rasa malu tidak menghalangi mereka demi menimba ilmu yang bermanfaat.

Ummu Sulaim radhiyallâhu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah SAW.! Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak malu terhadap kebenaran, apakah seorang wanita wajib mandi apabila ia mimpi (berjimâ)?” Rasulullah SAW menjawab, “Apabila ia melihat air.”[20]

            Melalui hadith-hadith yang dinyatakan di atas, jelaslah menunjukkan bahawa seseorang itu dilarang mempunyai perasaan malu di dalam menuntut ilmu.


 ི♥ྀ PENGAJARAN HADITH / FAWÂÎD HADÎTH  ི♥ྀ

 ღ. Hadith ini menunjukkan bahawa malu itu keseluruhannya adalah baik. Barangsiapa banyak rasa malunya, banyak pula kebaikannya dan manfaatnya lebih menyeluruh. Dan barangsiapa yang sedikit rasa malunya, sedikit pula kebaikannya.

 ღ. Sifat malu semuanya terpuji dan salah satu wasiat yang disampaikan dan disyari’atkan oleh para Nabi terdahulu. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam sendiri mempunyai pribadi yang sangat pemalu.           
     
   ღ. Allah Azza wa Jalla Maha Pemalu dan menyukai sifat malu serta mencintai hamba-Sifat malu (al-haya’) menurut syarak adalah merupakan satu sifat yang mulia kerana sifat itu yang menghalang seseorang itu dari melakukan perkara yan dihalang oleh syarak dan menjadikan seseorang itu menunaikan kewajipan-kewajipan yang dipertanggung jawabkan ke atasnya.

 ღ. Malu adalah sifat yang mendorong pemiliknya untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk. Orang-orang Jahiliyyah dahulu memiliki rasa malu yang mencegah mereka dari mengerjakan sebahagian perbuatan keji.

  ღ. Malu yang mencegah seseorang dari menuntut ilmu dan mencari kebenaran adalah malu yang tercela.

 ღ. Setiap agama memiliki akhlak dan akhlak Islam adalah malu. Buah dari malu adalah ‘iffah (menjaga   kehormatan) dan wafa' (setia).

 ღ. Lawan dari malu adalah tidak tahu malu (muka tembok), ia adalah perangai yang membawa pemiliknya melakukan keburukan dan tenggelam di dalamnya serta tidak malu melakukan maksiat secara terang-terangan. Padahal Rasulullah SAW bersabda, Ertinya: “Setiap umatku pasti dimaafkan, kecuali orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan.”  [Shahîh: HR.al-Bukhâri (no. 6096) dan Muslim (no. 2990) dari Abû Hurairah]

  ღ. Para orang tua wajib menanamkan rasa malu kepada anak-anak mereka.
كُلُّ أُمَّـتِيْ مُعَافًى إِلاَّ الْـمُجَاهِرِيْنَ
  
  ღ. Iman itu mempunyai cabang yang banyak dan berbeza-beza dari segi tuntutannya. Ada yang wajib, ada yang sunnat. Ada yang fardhu ain, ada yang fardhu kifayah. Larangannya juga ada pelbagai jenis, yang paling besarnya ialah kufur, syirik dan munafik, selepas itu dosa-doa besar dan seterusnya segala perkara-perkara yang dilarang.

 ღ. Iman itu juga merangkumi perkataan dan perbuatan. Perbuatan itu merangkumi perbuatan hati dan perbuatan anggota yang zahir.






[1] Shahîh: HR.al-Bukhâri (no. 24, 6118), Muslim (no. 36), Ahmad (II/9), Abû Dâwud (no. 4795), at-Tirmidzî (no. 2516), an-Nasâ-i (VIII/121), Ibnu Mâjah (no. 58), dan Ibnu Hibbân (no. 610) dari Ibnu ‘Umar radhiyallâhu ‘anhu.
[2] Sahih Sunan Ibn Majah 2/406, hadith no.3370/4181 (Hasan)
[3] Sahih Sunan Ibn Majah 2/406, hadith no. 3373/4184 (Sahih)
[4] Sahih Al-Bukhari, kitab adab, bab ke 77, hadith no.6119 (Fath 10/521)Sahih Sunan Ibn Majah 2/406, hadith  no.3369 (Sahih)
[5] A-Haya' fî Dhau-il Qur-ânil Karîm wal Ahâdîts ash-Shahîhah (hal. 9).
[6] Fathul Bari 1/522 ketika mensyarahkan bab haya’ dalam kitab adab, hadith no.6118
[7] Fathul Bari 1/229 ketika mensyarahkan bab haya’ dalam ilmu dari kitab iman.
[8] Sahih Al-Bukhari, kitab permulaan wahyu, bab ke 6, hadith no.7 (Fath 1/31)
[9] Sahih Al-Bukhari, kitab ilmu, bab ke 4, hadith no.61.
[10] Fathul Bari 1/146
[11] Sebagaimana hadith yang dirujuk dari Fathul Bari 10/522 ketika menerangkan hadith 6118
[12] Sahih al-Bukhari, kitab tafsir, surah ke2, bab 1, hadith no.4476 (Fath 8/160)
[13] Raudhatul ‘Uqalâ wa Nuzhatul Fudhalâ' (hal. 53)
[14] Madârijus Sâlikîn (II/270). Lihat juga Fathul Bâari (X/522) tentang definisi malu.
[15] Sahih Al-Bukhari, kitab ilmu, dari terjemahan bab 50 (Fath 1/228)
[16] Ketika Ibnu Hajar menjelaskan potongan hadith 130 dari Sahih al-Bukhari
[17] Qawâ’id wa Fawâid (hal. 182)
[18] Atsar shahîh: Diriwayatkan oleh al-Bukhâri secara mu’allaq dalam Shahîh-nya kitab al-‘Ilmu bab al-Hayâ' fil ‘Ilmi dan Ibnu ‘Abdil Barr dalam al-Jâmi’ bayânil ‘Ilmi wa Fadhlihi (I/534-535, no. 879).
[19] Atsar shahîh: Diriwayatkan oleh al-Bukhâri dalam Shahîhnya kitab al-‘Ilmu bab al-Hayâ' fil ‘Ilmi secara mu’allaq.
[20] Shahîh: HR.al-Bukhâri (no. 130) dan Muslim (no. 313).

No comments:

Post a Comment